Pages

Saturday, December 10, 2011

Taman Negara - Hari ke- 2 (Canopy Walkway @ Titian Silara)

Seawal pukul 5 pagi saya sudah bangun untuk menghadapi hari ke-2 di sini. Selesai mandi dan solat Subuh, saya mengadap laptop melayan FB sambil mengupdate status tentang program yang bakal kami lakukan pada hari ini.‎~bukit teresek~canopy walkway~lubuk simpon~ { harap2 cuaca cerah sampai ke petang }  Status yang tertera di laman FB. Sambil menunggu hari cerah, kami bersarapan pagi di dalam bilik sahaja. Menu : Roti gardenia perisa jagung & vanila, Kit Kat, Mister Potato dan Milo panas.

Selesai bersarapan dan melihatkan keadaan di luar sudah mulai cerah, kami mengambil keputusan untuk keluar dan bertanyakan tentang pakej bot yang boleh membawa kami ke Kanopi Walkway dan Bukit Teresek. Bukan disebabkan malas untuk trekking dari pintu masuk Taman Negara ke Kanopi Walkway, tetapi apabila memikirkan kesuntukan masa dan telah lama kami tidak melakukan aktiviti trekking, maka pilihan kami adalah untuk mengambil bot ke tempat permulaan Kanopi Walkway. Jimat masa dan kami dapat menyimpan tenaga untuk mendaki Bukit Teresek nanti. : )

: Bot-bot yang digunakan sebagai pengangkutan di Sungai Tembeling :

Kami ke jeti dan bertanyakan kepada pemandu bot yang ada di sana tentang pakej yang ditawarkan untuk ke Kanopi Walkway dan Bukit Teresek. Tambang bot untuk ke sana rata-ratanya sama sahaja iaitu RM30 seorang. Setelah bersetuju dengan harga yang dibincangkan, kami menyeberangi Sungai Tembeling dengan bot (bayaran RM1 sehala) untuk ke Taman Negara bagi mengambil permit. Menurut seorang petugas Taman Negara yang sedang bersarapan di sebuah gerai di jeti tersebut, bayaran untuk permit memasuki Taman Negara hanya RM1. Jika ditahan kerana memasuki Taman Negara tanpa permit, kompaun yang dikenakan berkali-kali ganda daripada bayaran permit masuk. Selesai urusan mengambil permit, kami sempat bergambar di hadapan pintu masuk untuk kenang-kenangan. Lupa untuk saya nyatakan di sini, bayaran RM5 juga dikenakan ke atas kamera yang dibawa masuk ke Taman Negara. (pertanyaan bermain di minda mengapakah bayaran dikenakan untuk kamera. Apa logiknya ia dikenakan bayaran? Jika bertujuan untuk menampung kos penyelenggaraan, bukankah lebih elok untuk menaikkan harga permit? ) Walau apa pun pertanyaan yang bermain di minda, bayaran RM10 tetap saya jelaskan untuk 2 buah kamera yang kami bawa masuk.

: Bergambar di pintu masuk Taman Negara :

Kami kemudiannya mengambil bot semula untuk menyeberangi sungai ke jeti di seberang. Dari jeti tersebut, kami menaiki bot Pak Cik Husin ( pemandu bot yang kami sewa ) untuk ke tempat permulaan Kanopi Walkway. Perjalanan menaiki bot ke sana mengambil masa lebih kurang 10-15 minit. Jika trekking melalui jalan darat, masa yang diambil adalah lebih kurang 45 minit hingga ke 1 jam mengikut tahap kecergasan masing-masing. Tiba di jeti untuk ke Kanopi Walkway, kami terpaksa mendaki lebih kurang 10 minit untuk sampai ke tempat permulaan. Mengah juga terasa dek kerana sudah lama tidak melakukan aktiviti luar..Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerja dan tiada masa untuk beriadah.

: Papan tanda arah untuk ke Titian Kanopi :

Tiba di tempat permulaan untuk menaiki Canopy Walkway @ Titian Silara  ( bunyi macam sedih je ~ Silara ), kami terpaksa menunggu di pondok yang disediakan kerana waktu beroperasi bermula pada pukul 9.30 pagi. Oleh kerana takut akan kehadiran ramai pengunjung dan terpaksa menunggu lama sebelum dapat menaiki Titian Silara ini, kami sampai awal dan merupakan pengunjung pertama tiba di sini. ( over excited, walaupun pada hakikatnya kecut perut..haha ) Bayaran sebanyak RM5 bagi dewasa juga dikenakan untuk menaiki Titian Silara ini. Selesai membuat bayaran masuk, kami mula mendaki anak tangga untuk ke tempat permulaan. 

: Papan tanda di pintu masuk ke Kanopi Walkway :

Seperti biasa, memulakan perjalanan kami di atas Titian Silara ini adalah sahabat saya. Dengan lafaz bismillah dan sepotong doa untuk mengelakkan rasa gemuruh, saya memulakan langkah di atas titian gantung yang berukuran 530 meter panjang dan berkedudukan 40 meter dari atas tanah sekaligus menjadikan Titian Silara di Taman Negara, Pahang ini titian gantung yang terpanjang di dunia.

: Salah satu gambar yang sempat dirakamkan :

Kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar semasa berada di atas titian ini. Pengalaman yang  tidak mungkin dapat saya lupakan.

bersambung lagi...




2 comments:

  1. dear haini,

    salam. tenks for the info tuk pegi taman negara versi tanpa package..so..izinkan sy kaji your posts pasal trip ke taman negara untuk kesana kelak..inshaAllah..mintak halal ye..

    ReplyDelete
  2. waalaikumsalam.. silakan...2 tahun dah berlalu..mungkin dah banyak perubahan yang berlaku.. teringin nak menjejakkan kali lagi ke sana.. kalau awak dah pegi, boleh la share info k.. :)

    ReplyDelete