Pages

Sunday, December 25, 2011

~Tak Berapa Nak Pandai~

Haiiihhhhhh...memang tak berapa nak pandai...Ingat jadi cikgu dah cukup pandai??? Huh!!..

Buat rosak "mood" je pagi-pagi tadi.. Excited nak pegi, tapi tak cukup buat 'preparation'.. BAGUSSS!!.. Sangat-sangat BAGUS!!! Tahniah buat CIK ZURHAINI BINTI ZUBIT...(amalkan selalu yea..Ingatkan diri sendiri)

Taman Orkid?? Mana tu?? Tahu di Kuala Lumpur, tapi kat mana?? KL tu besar kot..

Penuh 'confident' keluar rumah tanpa bertanya dahulu dengan "kawan baik"..Selalunya nak ke mana-mana tempat yang tak biasa dituju..mesti, mesti, mesti tanya dulu la... Hari nie terlebih yakin sangat...Amik kaw!!

Sudahlah berpusing-pusing ikut GPS yang pun tak berapa nak pandai tu...Sampai je tempat yang dituju, dengan 'confident' je kuarkan dari beg..Konon-konon nak shoot dulu sebelum dapat 'task'.

Apesal tak tutup plak nie?? Penuh yakin tekan butang 'ON'

Uikkk..

NO SD CARD INSERTED...

Pandai!!....sungguh pandai..

Padan dengan muka "Orang Yang Tak Berapa Nak Pandai" nie... haishhh....

Wednesday, December 21, 2011

Ada Apa..

Lama kiranya tidak menulis.. Apa hendak dikisahkan? Apa yang hendak dibicarakan? Apa yang hendak dicoretkan?? Apa, apa, apa dan apa????? Ada apa dengan apa?? Apakah???


Terlalu banyak kisah yang ingin dikisahkan..terlalu banyak cerita yang ingin dikongsikan...terlalu banyak sehingga tidak tahu di mana harus dimulakan..


Kata pepatah " Jauh perjalanan, luas pemandangan" Benarkah??


"8 hari 7 malam"... kembara yang tidak putus-putus.. Siang, malam, subuh, dinihari.. Bertemankan Sang Mentari & Sang Bulan... 


Yang kadang-kadang menyembunyikan diri...Di balik awan hitam...di balik titis-titis kasar yang menyirami bumi...  


Ke mana hati terdetik, ke mana kaki ingin melangkah, ke mana mata ingin memandang, ke situ tempat yang dituju...Utara, Selatan, Timur & Barat....


Selagi terdaya..selagi termampu... Berbekalkan doa dan tawakal... Hati tekad bulat meneruskan setiap langkah.. 


Degilkah? Keras hatikah? 


Alhamdulillah..Syukur pada DIA yang memberkati setiap perjalanan.. 


DIA yang sentiasa ada bersama-sama tanpa sedetik pun meninggalkan kita..


DIA yang seringkali kita lupakan tatkala berada dalam kesenangan....


DIA yang seringkali kita ingat tatkala berada dalam kesusahan..


Tetapi DIA... tidak pernah sesekali pun melupakan kita.. 


Hanya DIA yang Satu...

Wednesday, December 14, 2011

~Menanti Sang Mentari ~

Perjalanan malam yang mengambil masa hampir 5 jam akhirnya terbayar.. Sang Mentari yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul jua. 3 jam berada di sini, serasa seperti 30 minit. Masa begitu pantas berlalu tanpa menunggu sesiapa yang alpa.. Ayuh!! Teruskan kembara..perjalanan masih jauh...


: Bersyukur padaNYA atas kesempatan yang diberikan :

:Akhirnya..Sang Mentari mula menonjolkan dirinya:


Monday, December 12, 2011

~ Kelip-Kelip Ku Sangka Api ~

Melompat seketika dari entry sebelum ini. Ingin dikisahkan pengalaman ke Kompleks Pelancongan Kampung Kuantan bersama rakan-rakan malam semalam.

Tercetusnya idea untuk melihat kelip-kelip di Kg. Kuantan bermula daripada seorang rakan (Kak Engku) yang tinggal di Putrajaya. Begitu teruja Kak Engku ingin melihat kelip-kelip selain daripada keterujaannya dengan penyanyi Korea. " Aku nak tengok kelip-kelip.Nanti hangpa amik gambaq aku banyak-banyak2 tau.. Aku nak bawak sekali sayap yang macam kelip-kelip tu ". kata Kak Engku sambil ketawa.

Petang Ahad, pesanan ringkas (sms) saya terima dari Kak Engku mengatakan dia tidak jadi untuk mengikuti kami melihat kelip-kelip. Sms Kak Engku tidak saya balas, bukan disebabkan marah tetapi malas. Panggilan telefon terus saya buat pada rakan saya untuk memberitahu tentang pembatalan Kak Engku untuk menyertai kami. Rancangan tetap diteruskan kerana 2 orang lagi rakan telah dalam perjalanan ke rumah saya. (tempat kami berkumpul sebelum ke Kg. Kuantan) Nasib baik Noor dan suaminya (Sham) masih belum berangkat pulang ke Teluk Intan. Sempat saya memaksa mereka mengikuti kami bertiga untuk pergi melihat kelip-kelip.

Usai solat maghrib di rumah saya, kami ber-5 memulakan perjalanan ke Kg. Kuantan dengan menaiki 2 buah kereta. Nor dan Sham menaiki kereta Myvi putih mereka manakala saya, Asrol dan Zaini menaiki  Cik Viva hijau kesayangan saya. Tiba di Kg. Kuantan, kereta telah agak banyak dipakir di tempat letak kereta. Agak ramai juga orang yang berkunjung untuk melihat kelip-kelip pada malam tersebut. Nasib kami ber-5 merupakan antara orang yang terawal tiba di sana.

Selesai membayar harga tiket untuk menaiki sampan, kami terus ke jeti. Harga tiket yang dikenakan adalah RM40 untuk sebuah sampan dan hanya 4 orang penumpang sahaja untuk sebuah sampan. Bagi kami yang datang ber-5, bayaran tambahan RM10 perlu dibayar kepada pendayung.

Sebelum menaiki sampan, kami masing-masing diberikan jaket keselamatan untuk dipakai. Sambil menanti giliran, kami sempat mengambil gambar.

: Asrol-Noor-Sham :

 : Boleh berdiri pulak atas sampan :
Pemandangan malam itu agak gelap. Bulan masih belum menjegahkan dirinya. Kami menaiki sampan dan pak cik yang mendayung sampan kami ramah bertanya dari mana kami semua datang. Sambil menikmati pemandangan seperti lampu kelip-kelip yang disajikan di hadapan mata, kami mendengar pakcik itu bercerita tentang kelip-kelip dan pokok berembang.  Tak banyak yang dapat dilakukan di dalam sampan. Hendak mengambil gambar pun tak dapat mencari titik fokus kerana terlampau gelap. Akhirnya saya hanya duduk menikmati keindahan malam yang diserikan dengan cahaya kelip-kelip yang seakan-akan lampu hari raya seperti kata Noor. 

: Gambar yang sempat dirakamkan oleh lensa kamera saya :
Lebih kurang 20 minit di dalam sampan, kami kembali semula ke jeti. Seperti biasa, kalau sudah kaki kamera, mana-mana pergi pun mesti hendak mengambil gambar. Berposing kami sekali lagi di jeti. Kali ini, Zaini yang mempunyai kamera yang paling canggih antara kami ber-3 ( saya punya kamera la yang paling low class..hehe) yang menjadi jurugambar. Puas mengambil gambar,kami berpecah. Nor dan Sham meneruskan perjalanan pulang ke Teluk Intan, manakala kami ber-3 meneruskan misi kami pada malam itu untuk membuat night shoot di I-City, Shah Alam. 

Setibanya kami di I-City, titis-titis halus hujan mula terasa. Kami meneruskan jua langkah. Pertama kali saya menjejakkan kaki ke I-City. Sebelum-sebelum ini hanya melalui kawasan tersebut sahaja. Tanggapan pertama ~ pening-banyak sangat lampu- terlampau 'colorful'-crowded ~ Sempat kami berjalan-jalan di dalam kawasan I-City sebelum titis-titis hujan mula terasa kasar. Kami akhirnya sepakat untuk keluar dari I-City dan  minum di Kedai Tart Nasi Ayam di Seksyen 18, Shah Alam sebelum berpisah untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Kelip - kelip kusangka api,
Kalau api mana sumbunya,
Cuti-cuti ku berjalan lagi,
Dah tu,bila masa nak rehatnya.
  =)

* Erata : Kedai Tat Nasi Ayam di Seksyen 23, bukan di seksyen 18..maaf..salah seksyen.. Kalau  ada  yang ke Shah Alam, bolehlah singgah makan di kedai ini.. =)

Sunday, December 11, 2011

Kuantan

Destinasi seterusnya selepas 'check out' dari Teresek View Motel adalah Kuantan. Lebih kurang pukul 4.00 petang kami memulakan perjalanan ke Kuantan. Kami bercadang untuk makan malam di Tanjung Lumpur. Menu pilihan sudah tentunya ikan bakar. ; ) Dalam perjalanan untuk keluar dari Jerantut dan memasuki lebuhraya untuk ke Kuantan, suatu insiden nyaris-nyaris berlaku di hadapan kami. Sebuah motosikal yang memotong kenderaan kami di lereng bukit nyaris-nyaris dilanggar oleh sebuah kereta Proton Persona yang datang dari arah bertentangan. Mengucap panjang kami melihat insiden itu. Jika motosikal tersebut dilanggar oleh kereta Persona itu, maka kami akan sekali gus terlibat dalam insiden tersebut. Nauzubillahhiminzalik... Nasib masih menyebelahi kami, pemandu kereta Persona dan penunggang motosikal tersebut. Syukur alhamdulillah.

Perjalanan diteruskan memasuki lebuhraya dan tugas sebagai pemandu telah saya ambil alih. Saya memandu secara santai sambil melayan koleksi lagu-lagu daripada mp3. Sepanjang perjalanan di lebuhraya , kami  lihat banyak lori askar yang penuh dengan barang-barang memintas kenderaan kami. Ada pegawai yang berpindah, mungkin. Keluar dari tol Gambang, kereta terus dihalakan ke Tanjung Lumpur, Kuantan mengikut arah yang ditunjukkan oleh GPS. Dalam perjalanan, Thip telah menelefon untuk membuat tempahan penginapan di Hotel Season View, Kuantan. {tempat penginapan kami untuk malam ke-2 berada di Pahang} Kami diberitahu agar mendaftar masuk sebelum pukul 10 malam. 

Tiba di Tanjung Lumpur, kami dapati ramai orang sedang menjamu selera di gerai-gerai yang terletak berhadapan dengan laut tersebut. Mungkin disebabkan awal bulan. Orang baharu mendapat gaji, jadi semua gerai makan penuh ditambah pula dengan cuti hujung minggu. Tempat parking yang disediakan juga penuh dengan pelbagai jenis kenderaan. Selepas memakir kereta, kami ke gerai yang biasa kami kunjungi semasa bertandang ke Kuantan pada awal tahun ini. Kelihatan pekerja-pekerja gerai  berlumba-lumba memujuk pelanggan untuk memasuki gerai makan masing-masing. Kami meneruskan langkah ke gerai pilihan tanpa mengendahkan pujukan dari pekerja-pekerja gerai yang dilalui.

Perkara pertama yang dilakukan apabila sampai di kedai ikan bakar tersebut adalah memilih ikan dan pelbagai jenis hidupan laut yang lain untuk dimasak. Kami mencari ikan aji-aji untuk menu pada malam tersebut. Malangnya, menurut pekerja di situ, ikan aji-aji sudah beberapa hari tidak dijual.  Oleh kerana ketiadaan ikan aji-aji, kami menukar menu dengan memilih ikan pari, ketam dan sotong. 

Menu makan malam untuk hari ke-2 : Ikan pari bakar, ketam masak cili, sotong celup tepung, sayur goreng dan limau suam.

: Sotong celup tepung :
: Sayur goreng :
: Ikan pari bakar :
: Ketam masak cili :
:Air limau suam:


Alhamdulillah..Syukur di atas rezeki pada malam tersebut. Oleh kerana kekenyangan, kami tidak dapat menghabiskan ketam masak cili yang dipesan dan membuat keputusan untuk membungkusnya. Semasa sedang menghabiskan baki makanan yang tinggal, saya terpandang seseorang yang dirasakan seperti pernah dilihat..tapi di mana ya??hmm.... Cik Ana Radiah!!! Wah...tidak disangka dapat bertemu dengan Cik Ana Radiah di Tanjung Lumpur..Meskipun tahu yang Cik Ana balik untuk menghadiri majlis pertunangan adiknya di Pekan, tetapi tidak disangka pula yag kami akan bertemu di sini- Tanjung Lumpur (Kuantan ) Lebih pelik lagi bersama En. H...hmmmm..keliru lagi.. Sempat kami berborak seketika sebelum masing-masing meminta diri untuk pulang.  Cik Ana dan En. H akan pulang ke Pekan, manakala kami akan ke tempat penginapan. Selesai membuat bayaran kami, pun berjalan untuk ke tempat kereta dipakir. Belum sempat kami keluar dari gerai ikan bakar tersebut, hujan turun dengan selebat-lebatnya. Sempat saya meminjam payung dari pekerja gerai tersebut untuk ke tempat letak kereta.

Kami meneruskan perjalanan dari Tanjung Lumpur ke Hotel Season View dalam hujan lebat. Sampai di hotel, Thip turun untuk membuat pendaftaran masuk, manakala saya menunggu di dalam kereta kerana tempat letak kereta di hadapan hotel telah penuh. Selesai urusan pendaftaran, Thip kembali semula ke kereta. Saya mencadangkan agar kami ke Plaza berdekatan untuk menonton wayang. Alasan yang saya berikan adalah disebabkan hujan lebat dan ketiadaan tempat letak kereta. Jadi bagaimanakah kami hendak mengangkat beg dan barang-barang kami? Sudah tentunya akan basah kuyup dan akan mengundang sakit. Sudahlah selsema dan batuk masih belum sembuh, inikan pula hendak ditambah lagi dengan deman..Hohoho..tidak..tidak. Terseksa rasanya nanti.

Kami meneruskan rancang untuk menonton wayang dan memandu menghala ke GSC yang berhampiran mengikut GPS. Berpusing-pusing kami mencari pawagam tersebut. Apabila menghampiri kompleks membeli-belah yang menempatkan pawagan GSC, saya berasa pelik kerana ramai orang berpusu-pusu keluar..Jam di tangan dipandang sekilas.. Pukul 10 malam..patutlah ramai orang berpusu-pusu keluar.. Saya kemudiannya membatalkan niat untuk menonton wayang dan menyuruh Thip memandu keluar dari kompleks membeli-belah tersebut. Marah agaknya sahabat saya ini dengan keputusan yang saya ambil secara tiba-tiba. Kami kemudiannya, berpusing-pusing pula mencari jalan untuk pulang semula ke hotel. Sampai di hotel, masing-masing sudah kepenatan.

bersambung ....

Saturday, December 10, 2011

Taman Negara - Hari ke- 2 (Bukit Teresek & Lubuk Simpon)

Selesai melakukan aktiviti berjalan di atas Titian Silara yang mengambil masa (tak pasti berapa lama kerana sibuk mengambil gambar), kami meneruskan perjalanan untuk ke Bukit Teresek. Diperkatakan bahawa apabila berada di puncak Bukit Teresek yang berketinggian 334 meter tinggi ini, kita akan dapat melihat pemandangan  di puncak Gunung Tahan. Itu pun jika cuaca baik dan diizinkan oleh NYA..

: Papan tanda arah untuk ke Kuala Tahan, Bukit Teresek & Titian Kanopi :

Bersemangat saya mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Teresek untuk melihat sendiri panorama indah yang diperkatakan oleh 'tourist guide' yang kami jumpa di sepanjang perjalanan. Untuk pengetahuan, kami tidak  mengambil khidmat 'tourist guide' kerana yakin kami boleh meneroka sendiri hutan simpan ini..Tambahan pula, sahabat saya (Thip) sudah berkali-kali ke sini. Walaupun perut sudah mula berbunyi minta diisi, perjalanan tetap diteruskan dengan berbekal satu bar coklat BOOST dan air 100 plus sebagai pengalas perut.

: Pendakian ke Bukit Teresek :

Pendakian ke Bukit Teresek dirasakan mengambil masa yang lama,walaupun jaraknya hanya 1km sahaja. Mungkin disebabkan diri ini sudah tidak secergas dahulu ataupun mungkin disebabkan mental & fizikal tidak bersedia untuk melakukan aktiviti pendakian yang telah agak lama ditinggalkan. Seringkali saya berhenti untuk mengambil dan menyusun semula nafas agar dapat sampai ke sampai ke destinasi yang dituju.

:Cendawan:
Sepanjang perjalanan, Thip sibuk mengambil gambar flora dan fauna. Bagi saya pula, hanya  merakamkan semuanya di dalam minda sahaja. Ini kerana bateri kamera saya hanya tinggal satu bar dan saya ingin menyimpannya untuk merakamkan pemandangan dari atas puncak Bukit Teresek. Satu kesilapan yang agak tidak bijak dilakukan oleh saya kerana tidak mengecas bateri kamera pada malam sebelumnya. Dalam hati tidak henti-henti saya mengutuk dan memarahi diri sendiri. Satu kesilapan yang tidak wajar dilakukan. 
:Sarang labah-labah:

Lebih kurang pukul 11.40 pagi, kami tiba di puncak Bukit Teresek. Bersemangat saya untuk melihat puncak Gunung Tahan.(tak dapat mendaki gunung Tahan, dapat tengok puncak pun jadilah) Nasib tidak menyebelahi kami kerana puncak Gunung Tahan tidak kelihatan dek kerna cuaca yang agak mendung dan berkabus. Akur dengan takdir yang telah ditentukan, kami merakamkan beberapa keping gambar sebagai tanda kenangan kami sudah sampai di puncak Bukit Teresek ini dan kemudiannya meneruskan perjalanan turun.

 
: Papan tanda yang menandakan anda berada di puncak Bukit Teresek :

Sampai di jeti, bot  Pak Cik Husin telah sedia menanti. Kami meminta Pak Cik Husin menurunkan kami di jeti Taman Negara untuk meneruskan perjalanan ke Lubuk Simpon.

: Bot Pak Cik Husin :

Perjalanan ke Lubuk Simpon mengambil masa lebih kurang 20 minit. Seperti biasa, perjalanan yang kami ambil akan melebih masa yang sepatutnya kerana sibuk merakamkan gambar sebagai kenangan.

 : Gambar flora dan fauna yang sempat dirakamkan oleh lensa kamera sahabat saya :

Kami akhirnya tiba ke destinasi yang dituju selepas puas bersilat dengan pacat yang banyak terdapat di sepanjang perjalanan. Tidak pasti berapa ml darah yang sempat disedut oleh pacat-pacat tersebut. Sudah kurang darah saya pada hari itu. :(

: Lubuk Simpon :
Kegusaran akibat kehilangan darah disebabkan oleh pacat tidak menjadi penghalang untuk saya menikmati keindahan dan kedamaian yang terdapat di Lubuk Simpon ini. Airnya yang tenang dan jernih serta hutannya yang masih kehijauan diserikan lagi dengan bunyi unggas bersahut-sahutan bisa mendamaikan hati setiap pengunjungnya. Saya tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki ke dalam sungai tersebut dan merasai sendiri kedinginan airnya. Jelas kelihatan di mata, anak-anak ikan berkejar-kejaran berenang dengan riang di dalam sungai ini. Hilang segala beban rasa buat seketika semasa berada di sini.

: Air sungai Tahan :
Selepas beberapa ketika menikmati keindahan alam ciptaan Allah di sini, kami memulakan langkah untuk pulang ke jeti dan ke tempat penginapan. Sayu rasa di hati mengenangkan kami bakal meninggalkan tempat yang tersimpan sebuah kedamaian yang tidak mungkin dapat dirasai di kota. Kenangan indah ini akan saya lipat dan simpan kemas-kemas di dalam kotak ingatan. Alhamdulillah, kita dikurniakan dengan kotak ingatan yang tidak mempunyai had muatan tidak sebagaimana komputer riba, kad memori dan lain-lain alat-alat elektronik yang canggih pada hari ini.

: Bergambar di papan tanda Taman Negara :
Kami sempat merakamkan gambar bersama di papan tanda Taman Negara, Pahang sebelum bergerak menaiki bot menyeberangi Sungai Tembeling untuk meneruskan kembara kami ke destinasi yang seterusnya.



: Menaiki bot untuk pulang ke tempat penginapan :

Sayonara Taman Negara,Pahang. Insyaallah, jika ada umur dan diizinkan olehNYA akan saya jejakkan semula kaki ke sini. 

~ Tamat sudah kisah "Kembara" ke Taman Negara Pahang ~

bersambung untuk ke destinasi yang seterusnya...

Taman Negara - Hari ke- 2 (Canopy Walkway @ Titian Silara)

Seawal pukul 5 pagi saya sudah bangun untuk menghadapi hari ke-2 di sini. Selesai mandi dan solat Subuh, saya mengadap laptop melayan FB sambil mengupdate status tentang program yang bakal kami lakukan pada hari ini.‎~bukit teresek~canopy walkway~lubuk simpon~ { harap2 cuaca cerah sampai ke petang }  Status yang tertera di laman FB. Sambil menunggu hari cerah, kami bersarapan pagi di dalam bilik sahaja. Menu : Roti gardenia perisa jagung & vanila, Kit Kat, Mister Potato dan Milo panas.

Selesai bersarapan dan melihatkan keadaan di luar sudah mulai cerah, kami mengambil keputusan untuk keluar dan bertanyakan tentang pakej bot yang boleh membawa kami ke Kanopi Walkway dan Bukit Teresek. Bukan disebabkan malas untuk trekking dari pintu masuk Taman Negara ke Kanopi Walkway, tetapi apabila memikirkan kesuntukan masa dan telah lama kami tidak melakukan aktiviti trekking, maka pilihan kami adalah untuk mengambil bot ke tempat permulaan Kanopi Walkway. Jimat masa dan kami dapat menyimpan tenaga untuk mendaki Bukit Teresek nanti. : )

: Bot-bot yang digunakan sebagai pengangkutan di Sungai Tembeling :

Kami ke jeti dan bertanyakan kepada pemandu bot yang ada di sana tentang pakej yang ditawarkan untuk ke Kanopi Walkway dan Bukit Teresek. Tambang bot untuk ke sana rata-ratanya sama sahaja iaitu RM30 seorang. Setelah bersetuju dengan harga yang dibincangkan, kami menyeberangi Sungai Tembeling dengan bot (bayaran RM1 sehala) untuk ke Taman Negara bagi mengambil permit. Menurut seorang petugas Taman Negara yang sedang bersarapan di sebuah gerai di jeti tersebut, bayaran untuk permit memasuki Taman Negara hanya RM1. Jika ditahan kerana memasuki Taman Negara tanpa permit, kompaun yang dikenakan berkali-kali ganda daripada bayaran permit masuk. Selesai urusan mengambil permit, kami sempat bergambar di hadapan pintu masuk untuk kenang-kenangan. Lupa untuk saya nyatakan di sini, bayaran RM5 juga dikenakan ke atas kamera yang dibawa masuk ke Taman Negara. (pertanyaan bermain di minda mengapakah bayaran dikenakan untuk kamera. Apa logiknya ia dikenakan bayaran? Jika bertujuan untuk menampung kos penyelenggaraan, bukankah lebih elok untuk menaikkan harga permit? ) Walau apa pun pertanyaan yang bermain di minda, bayaran RM10 tetap saya jelaskan untuk 2 buah kamera yang kami bawa masuk.

: Bergambar di pintu masuk Taman Negara :

Kami kemudiannya mengambil bot semula untuk menyeberangi sungai ke jeti di seberang. Dari jeti tersebut, kami menaiki bot Pak Cik Husin ( pemandu bot yang kami sewa ) untuk ke tempat permulaan Kanopi Walkway. Perjalanan menaiki bot ke sana mengambil masa lebih kurang 10-15 minit. Jika trekking melalui jalan darat, masa yang diambil adalah lebih kurang 45 minit hingga ke 1 jam mengikut tahap kecergasan masing-masing. Tiba di jeti untuk ke Kanopi Walkway, kami terpaksa mendaki lebih kurang 10 minit untuk sampai ke tempat permulaan. Mengah juga terasa dek kerana sudah lama tidak melakukan aktiviti luar..Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerja dan tiada masa untuk beriadah.

: Papan tanda arah untuk ke Titian Kanopi :

Tiba di tempat permulaan untuk menaiki Canopy Walkway @ Titian Silara  ( bunyi macam sedih je ~ Silara ), kami terpaksa menunggu di pondok yang disediakan kerana waktu beroperasi bermula pada pukul 9.30 pagi. Oleh kerana takut akan kehadiran ramai pengunjung dan terpaksa menunggu lama sebelum dapat menaiki Titian Silara ini, kami sampai awal dan merupakan pengunjung pertama tiba di sini. ( over excited, walaupun pada hakikatnya kecut perut..haha ) Bayaran sebanyak RM5 bagi dewasa juga dikenakan untuk menaiki Titian Silara ini. Selesai membuat bayaran masuk, kami mula mendaki anak tangga untuk ke tempat permulaan. 

: Papan tanda di pintu masuk ke Kanopi Walkway :

Seperti biasa, memulakan perjalanan kami di atas Titian Silara ini adalah sahabat saya. Dengan lafaz bismillah dan sepotong doa untuk mengelakkan rasa gemuruh, saya memulakan langkah di atas titian gantung yang berukuran 530 meter panjang dan berkedudukan 40 meter dari atas tanah sekaligus menjadikan Titian Silara di Taman Negara, Pahang ini titian gantung yang terpanjang di dunia.

: Salah satu gambar yang sempat dirakamkan :

Kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar semasa berada di atas titian ini. Pengalaman yang  tidak mungkin dapat saya lupakan.

bersambung lagi...




Friday, December 9, 2011

- KemBaRa-

2 Disember 2011 merupakan "Kembara Terakhir" buat saya dan sahabat baik saya Thiplatul Azhar bagi tahun 2011.  Ia merupakan program penutup bagi tahun 2011. Sepanjang tahun 2011 banyak tempat yang telah kami jelajahi bersama-sama. Bermula pada awal tahun dengan pendakian kami ke Bukit Broga, Bukit Tabur, Gunung Irau, Pahang, Taman Negara, Pulau Pinang, Program Cuti-Cuti Malaysia ke Sarawak (destinasi paling jauh untuk tahun 2011), Bukit Larut, Taiping dan yang terakhir adalah Taman Negara, Pahang. " Tahun ni paling banyak kita berjalan" kata sahabat saya. Tersenyum saya dengan komen Thip. Betul la tu. Tak boleh disangkal lagi..Ikutkan masih ada lagi program yang kami rancangkan untuk tahun 2011, tapi masa tidak mengizinkan. Insyaallah, jika ada umur dan diizinkanNYA tahun depan boleh sambung lagi.

                                     : Google Map 'Kembara' kami :

Kembara selama 4 hari 3 malam kami bermula dari  rumah sewa saya di Kg. Tok Muda, Kapar. Walaupun pada awalnya terdapat sedikit salah info antara kami, tapi alhamdulillah semuanya dapat diselesaikan. Perjalanan kami bermula pada pukul 10 pagi melalui Lebuhraya Utara Selatan ke Lebuhraya Duke dan kemudiannya memasuki Lebuh Raya Karak. Keluar tol mana saya tak ingat sebab bukan 'driver' kan.So malas nak tengok jalan. Yang pastinya kami melalui bandar Temerloh yang mana bandar ini sangat terkenal dengan ikan patin. Ikan yang tidak saya gemari.. Nasib baik semasa kami melalui bandar ikan patin ini, sudah melepasi waktu makan tengah hari. Jadi gerai makan yang menjual masakan ikan patin sudah tutup. Alhamdulillah..kalau tak mau kena paksa makan ikan patin pulak, seperti mana kena paksa makan sushi..hoho.. Perjalanan diteruskan ke Taman Negara Pahang melalui Jerantut dan Jengka.

                                            : Teresek View Motel :

Kami tiba di Taman Negara Pahang lebih kurang pukul 4 petang. Perkara pertama yang kami lakukan adalah mencari tempat penginapan. Teresek View Motel telah menjadi pilihan untuk penginapan kami. Sebuah motel bajet yang selesa dengan kadar bayaran RM50 semalam bagi bilik yang mempunyai kipas dan RM60 untuk bilik yang mempunyai 'air cond'. Pilihan kami adalah bilik yang mempunyai 'air cond' dan menghadap ke arah Sungai Tembeling. Selesai urusan penginapan, kami ke gerai Bunian (gelaran yang diberi oleh tuan punya gerai) yang terletak berhadapan dengan Teresek Motel untuk mengisi perut yang sudah mula menyanyikan lagu  'rock kapak'. Menu pilihan - Megi goreng dan Milo O..Alhamdulillah..cukup untuk mengalas perut.

Selesai melayan perut, kami 'check in' ke tempat penginapan untuk berehat dan menunaikan Solat Jamak Qasar Zohor & Asar. Usai solat, kami merehatkan diri sambil merancang aktiviti yang akan dibuat pada malam tersebut dan keesokan harinya. Selepas membersihkan diri dan solat Maghrib-Isyak, kami memutuskan untuk keluar makan malam di Restoren Mama Chop ( Restoren Terapung di atas Sungai Tembeling ). Menu makan malam : Ikan kembung sweet sour-sayur goreng-french fries- jus oren & jus lemon.. Selesai makan, kami mengambil angin malam di sekitar kawasan penginapan. Program untuk mengikuti Night Jungle Walk kami batalkan kerana masing-masing keletihan.

                                          : Restoren Mama Chop :

bersambung...

Friday, September 30, 2011

Bersediakah ???

Assalam..
Salam Sejahtera..Salam 1 Malaysia..

Minggu ke 35 sesi persekolahan bakal melabuhkan tirainya hari ini...Minggu ke 36 & ke 37 bakal menjadi minggu yang paling sibuk buat aku.. Dimulakan dengan Klinik Sofbol selama 3 hari berturut-turut, Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan MSSD Klang, program luarku bersama-sama rakan2 pendaki ke Air Terjun Berkelah Maran, Pahang, Kursus KSSR Pendidikan Jasmani Tahun 2, Lawatan Tahun 6 ke Putrajaya dan program Hari Keluarga SKTM di Janda Baik,Pahang..Bersediakah mental & fizikalku untuk menghadapi 2 minggu yang padat dengan aktiviti2 nanti?? Sedikit teruja dengan aktiviti2 yang bakal dilakukan, tapi...hmmm... 
" Be positive..think positve " :) ~lalalala~
Apa2 pun..ptg nie nak balik Tepengggg....suke3x...bleh makan masakan mak...
Maxwell Hill (Bukit Larut) ~ wait 4 me kay....Cendol Bismillah n Popiah Basah also...can't wait lorrr... hahaha :)

Thursday, September 29, 2011

Mulanya di sini....

Assalamualaikum n gud morning...
Pertama kali menulis di dalam blog yang sudah lama dibuat tapi tak diusik2.. :D haha.. Last week dapat sms dari Kak Sue (rakan sekerja merangkap 2nd bos kat skul..(haha..jgn marah ek kak sue)..) SMS berbunyi < Salam. Zu pandai buat blog kan? Akk booking zu bg k.su tuisyen cara buat blog..Mau x mau akk paksa.- 20 Sep.2011 06.21pm From : Sktm-kak sue >  Hah! Sudah..sapa plak yang wat citer nie??..Diam sudah..X payah balas.. Sampai skul esoknya dipanggil oleh Kak Sue.." Zu, dapat tak SMS akak semlm?? Tolong la akak buat blog..Akak tau Zu pandai buat..tolong la ajar akak sampai pandai." Adesss...caner nie?? Owg memang tak pandai buat blog..tade blog pun kot..(haha..agak2 tipu sunat bleh kot).. Awal minggu nie pulak Amin pun cakap benda yang sama..Mintak tolong ajarkan buat blog... Alahaiii rakan2ku... Sesungguhnya rakanmu ini tidak pandai menghasilkan blog... Bukan sombong or tak nak ajar.. Kalau pandai, memang nak tolong ajarkan sampai pandai.. Masalahnya owg sendiri pun masih merangkak2 lagi dalam menghasilkan blog nie... :( Mohon ampun dan maaf yea rakan2...