Pages

Saturday, December 10, 2011

Taman Negara - Hari ke- 2 (Bukit Teresek & Lubuk Simpon)

Selesai melakukan aktiviti berjalan di atas Titian Silara yang mengambil masa (tak pasti berapa lama kerana sibuk mengambil gambar), kami meneruskan perjalanan untuk ke Bukit Teresek. Diperkatakan bahawa apabila berada di puncak Bukit Teresek yang berketinggian 334 meter tinggi ini, kita akan dapat melihat pemandangan  di puncak Gunung Tahan. Itu pun jika cuaca baik dan diizinkan oleh NYA..

: Papan tanda arah untuk ke Kuala Tahan, Bukit Teresek & Titian Kanopi :

Bersemangat saya mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Teresek untuk melihat sendiri panorama indah yang diperkatakan oleh 'tourist guide' yang kami jumpa di sepanjang perjalanan. Untuk pengetahuan, kami tidak  mengambil khidmat 'tourist guide' kerana yakin kami boleh meneroka sendiri hutan simpan ini..Tambahan pula, sahabat saya (Thip) sudah berkali-kali ke sini. Walaupun perut sudah mula berbunyi minta diisi, perjalanan tetap diteruskan dengan berbekal satu bar coklat BOOST dan air 100 plus sebagai pengalas perut.

: Pendakian ke Bukit Teresek :

Pendakian ke Bukit Teresek dirasakan mengambil masa yang lama,walaupun jaraknya hanya 1km sahaja. Mungkin disebabkan diri ini sudah tidak secergas dahulu ataupun mungkin disebabkan mental & fizikal tidak bersedia untuk melakukan aktiviti pendakian yang telah agak lama ditinggalkan. Seringkali saya berhenti untuk mengambil dan menyusun semula nafas agar dapat sampai ke sampai ke destinasi yang dituju.

:Cendawan:
Sepanjang perjalanan, Thip sibuk mengambil gambar flora dan fauna. Bagi saya pula, hanya  merakamkan semuanya di dalam minda sahaja. Ini kerana bateri kamera saya hanya tinggal satu bar dan saya ingin menyimpannya untuk merakamkan pemandangan dari atas puncak Bukit Teresek. Satu kesilapan yang agak tidak bijak dilakukan oleh saya kerana tidak mengecas bateri kamera pada malam sebelumnya. Dalam hati tidak henti-henti saya mengutuk dan memarahi diri sendiri. Satu kesilapan yang tidak wajar dilakukan. 
:Sarang labah-labah:

Lebih kurang pukul 11.40 pagi, kami tiba di puncak Bukit Teresek. Bersemangat saya untuk melihat puncak Gunung Tahan.(tak dapat mendaki gunung Tahan, dapat tengok puncak pun jadilah) Nasib tidak menyebelahi kami kerana puncak Gunung Tahan tidak kelihatan dek kerna cuaca yang agak mendung dan berkabus. Akur dengan takdir yang telah ditentukan, kami merakamkan beberapa keping gambar sebagai tanda kenangan kami sudah sampai di puncak Bukit Teresek ini dan kemudiannya meneruskan perjalanan turun.

 
: Papan tanda yang menandakan anda berada di puncak Bukit Teresek :

Sampai di jeti, bot  Pak Cik Husin telah sedia menanti. Kami meminta Pak Cik Husin menurunkan kami di jeti Taman Negara untuk meneruskan perjalanan ke Lubuk Simpon.

: Bot Pak Cik Husin :

Perjalanan ke Lubuk Simpon mengambil masa lebih kurang 20 minit. Seperti biasa, perjalanan yang kami ambil akan melebih masa yang sepatutnya kerana sibuk merakamkan gambar sebagai kenangan.

 : Gambar flora dan fauna yang sempat dirakamkan oleh lensa kamera sahabat saya :

Kami akhirnya tiba ke destinasi yang dituju selepas puas bersilat dengan pacat yang banyak terdapat di sepanjang perjalanan. Tidak pasti berapa ml darah yang sempat disedut oleh pacat-pacat tersebut. Sudah kurang darah saya pada hari itu. :(

: Lubuk Simpon :
Kegusaran akibat kehilangan darah disebabkan oleh pacat tidak menjadi penghalang untuk saya menikmati keindahan dan kedamaian yang terdapat di Lubuk Simpon ini. Airnya yang tenang dan jernih serta hutannya yang masih kehijauan diserikan lagi dengan bunyi unggas bersahut-sahutan bisa mendamaikan hati setiap pengunjungnya. Saya tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki ke dalam sungai tersebut dan merasai sendiri kedinginan airnya. Jelas kelihatan di mata, anak-anak ikan berkejar-kejaran berenang dengan riang di dalam sungai ini. Hilang segala beban rasa buat seketika semasa berada di sini.

: Air sungai Tahan :
Selepas beberapa ketika menikmati keindahan alam ciptaan Allah di sini, kami memulakan langkah untuk pulang ke jeti dan ke tempat penginapan. Sayu rasa di hati mengenangkan kami bakal meninggalkan tempat yang tersimpan sebuah kedamaian yang tidak mungkin dapat dirasai di kota. Kenangan indah ini akan saya lipat dan simpan kemas-kemas di dalam kotak ingatan. Alhamdulillah, kita dikurniakan dengan kotak ingatan yang tidak mempunyai had muatan tidak sebagaimana komputer riba, kad memori dan lain-lain alat-alat elektronik yang canggih pada hari ini.

: Bergambar di papan tanda Taman Negara :
Kami sempat merakamkan gambar bersama di papan tanda Taman Negara, Pahang sebelum bergerak menaiki bot menyeberangi Sungai Tembeling untuk meneruskan kembara kami ke destinasi yang seterusnya.



: Menaiki bot untuk pulang ke tempat penginapan :

Sayonara Taman Negara,Pahang. Insyaallah, jika ada umur dan diizinkan olehNYA akan saya jejakkan semula kaki ke sini. 

~ Tamat sudah kisah "Kembara" ke Taman Negara Pahang ~

bersambung untuk ke destinasi yang seterusnya...

No comments:

Post a Comment