Pages

Sunday, December 11, 2011

Kuantan

Destinasi seterusnya selepas 'check out' dari Teresek View Motel adalah Kuantan. Lebih kurang pukul 4.00 petang kami memulakan perjalanan ke Kuantan. Kami bercadang untuk makan malam di Tanjung Lumpur. Menu pilihan sudah tentunya ikan bakar. ; ) Dalam perjalanan untuk keluar dari Jerantut dan memasuki lebuhraya untuk ke Kuantan, suatu insiden nyaris-nyaris berlaku di hadapan kami. Sebuah motosikal yang memotong kenderaan kami di lereng bukit nyaris-nyaris dilanggar oleh sebuah kereta Proton Persona yang datang dari arah bertentangan. Mengucap panjang kami melihat insiden itu. Jika motosikal tersebut dilanggar oleh kereta Persona itu, maka kami akan sekali gus terlibat dalam insiden tersebut. Nauzubillahhiminzalik... Nasib masih menyebelahi kami, pemandu kereta Persona dan penunggang motosikal tersebut. Syukur alhamdulillah.

Perjalanan diteruskan memasuki lebuhraya dan tugas sebagai pemandu telah saya ambil alih. Saya memandu secara santai sambil melayan koleksi lagu-lagu daripada mp3. Sepanjang perjalanan di lebuhraya , kami  lihat banyak lori askar yang penuh dengan barang-barang memintas kenderaan kami. Ada pegawai yang berpindah, mungkin. Keluar dari tol Gambang, kereta terus dihalakan ke Tanjung Lumpur, Kuantan mengikut arah yang ditunjukkan oleh GPS. Dalam perjalanan, Thip telah menelefon untuk membuat tempahan penginapan di Hotel Season View, Kuantan. {tempat penginapan kami untuk malam ke-2 berada di Pahang} Kami diberitahu agar mendaftar masuk sebelum pukul 10 malam. 

Tiba di Tanjung Lumpur, kami dapati ramai orang sedang menjamu selera di gerai-gerai yang terletak berhadapan dengan laut tersebut. Mungkin disebabkan awal bulan. Orang baharu mendapat gaji, jadi semua gerai makan penuh ditambah pula dengan cuti hujung minggu. Tempat parking yang disediakan juga penuh dengan pelbagai jenis kenderaan. Selepas memakir kereta, kami ke gerai yang biasa kami kunjungi semasa bertandang ke Kuantan pada awal tahun ini. Kelihatan pekerja-pekerja gerai  berlumba-lumba memujuk pelanggan untuk memasuki gerai makan masing-masing. Kami meneruskan langkah ke gerai pilihan tanpa mengendahkan pujukan dari pekerja-pekerja gerai yang dilalui.

Perkara pertama yang dilakukan apabila sampai di kedai ikan bakar tersebut adalah memilih ikan dan pelbagai jenis hidupan laut yang lain untuk dimasak. Kami mencari ikan aji-aji untuk menu pada malam tersebut. Malangnya, menurut pekerja di situ, ikan aji-aji sudah beberapa hari tidak dijual.  Oleh kerana ketiadaan ikan aji-aji, kami menukar menu dengan memilih ikan pari, ketam dan sotong. 

Menu makan malam untuk hari ke-2 : Ikan pari bakar, ketam masak cili, sotong celup tepung, sayur goreng dan limau suam.

: Sotong celup tepung :
: Sayur goreng :
: Ikan pari bakar :
: Ketam masak cili :
:Air limau suam:


Alhamdulillah..Syukur di atas rezeki pada malam tersebut. Oleh kerana kekenyangan, kami tidak dapat menghabiskan ketam masak cili yang dipesan dan membuat keputusan untuk membungkusnya. Semasa sedang menghabiskan baki makanan yang tinggal, saya terpandang seseorang yang dirasakan seperti pernah dilihat..tapi di mana ya??hmm.... Cik Ana Radiah!!! Wah...tidak disangka dapat bertemu dengan Cik Ana Radiah di Tanjung Lumpur..Meskipun tahu yang Cik Ana balik untuk menghadiri majlis pertunangan adiknya di Pekan, tetapi tidak disangka pula yag kami akan bertemu di sini- Tanjung Lumpur (Kuantan ) Lebih pelik lagi bersama En. H...hmmmm..keliru lagi.. Sempat kami berborak seketika sebelum masing-masing meminta diri untuk pulang.  Cik Ana dan En. H akan pulang ke Pekan, manakala kami akan ke tempat penginapan. Selesai membuat bayaran kami, pun berjalan untuk ke tempat kereta dipakir. Belum sempat kami keluar dari gerai ikan bakar tersebut, hujan turun dengan selebat-lebatnya. Sempat saya meminjam payung dari pekerja gerai tersebut untuk ke tempat letak kereta.

Kami meneruskan perjalanan dari Tanjung Lumpur ke Hotel Season View dalam hujan lebat. Sampai di hotel, Thip turun untuk membuat pendaftaran masuk, manakala saya menunggu di dalam kereta kerana tempat letak kereta di hadapan hotel telah penuh. Selesai urusan pendaftaran, Thip kembali semula ke kereta. Saya mencadangkan agar kami ke Plaza berdekatan untuk menonton wayang. Alasan yang saya berikan adalah disebabkan hujan lebat dan ketiadaan tempat letak kereta. Jadi bagaimanakah kami hendak mengangkat beg dan barang-barang kami? Sudah tentunya akan basah kuyup dan akan mengundang sakit. Sudahlah selsema dan batuk masih belum sembuh, inikan pula hendak ditambah lagi dengan deman..Hohoho..tidak..tidak. Terseksa rasanya nanti.

Kami meneruskan rancang untuk menonton wayang dan memandu menghala ke GSC yang berhampiran mengikut GPS. Berpusing-pusing kami mencari pawagam tersebut. Apabila menghampiri kompleks membeli-belah yang menempatkan pawagan GSC, saya berasa pelik kerana ramai orang berpusu-pusu keluar..Jam di tangan dipandang sekilas.. Pukul 10 malam..patutlah ramai orang berpusu-pusu keluar.. Saya kemudiannya membatalkan niat untuk menonton wayang dan menyuruh Thip memandu keluar dari kompleks membeli-belah tersebut. Marah agaknya sahabat saya ini dengan keputusan yang saya ambil secara tiba-tiba. Kami kemudiannya, berpusing-pusing pula mencari jalan untuk pulang semula ke hotel. Sampai di hotel, masing-masing sudah kepenatan.

bersambung ....

4 comments:

  1. sedapnya makanan...hohohooho..sekali melantak tak ingat...selalu makan biskutje...hahahahaha

    ReplyDelete
  2. sebab sesekali la kena makan betul2..kalau selalu memang tak makan la..hihihi

    ReplyDelete
  3. time nie masa hasan&husin kawin kan?

    ReplyDelete
  4. rasanya la abg wan.. plan nak g kenduri asan & usin..tapi x kan nak g kenduri je kot..saje je penuhkan aktiviti sblm g kenduri..masuk utan ler dulu..hehehe

    ReplyDelete