Pages

Monday, December 12, 2011

~ Kelip-Kelip Ku Sangka Api ~

Melompat seketika dari entry sebelum ini. Ingin dikisahkan pengalaman ke Kompleks Pelancongan Kampung Kuantan bersama rakan-rakan malam semalam.

Tercetusnya idea untuk melihat kelip-kelip di Kg. Kuantan bermula daripada seorang rakan (Kak Engku) yang tinggal di Putrajaya. Begitu teruja Kak Engku ingin melihat kelip-kelip selain daripada keterujaannya dengan penyanyi Korea. " Aku nak tengok kelip-kelip.Nanti hangpa amik gambaq aku banyak-banyak2 tau.. Aku nak bawak sekali sayap yang macam kelip-kelip tu ". kata Kak Engku sambil ketawa.

Petang Ahad, pesanan ringkas (sms) saya terima dari Kak Engku mengatakan dia tidak jadi untuk mengikuti kami melihat kelip-kelip. Sms Kak Engku tidak saya balas, bukan disebabkan marah tetapi malas. Panggilan telefon terus saya buat pada rakan saya untuk memberitahu tentang pembatalan Kak Engku untuk menyertai kami. Rancangan tetap diteruskan kerana 2 orang lagi rakan telah dalam perjalanan ke rumah saya. (tempat kami berkumpul sebelum ke Kg. Kuantan) Nasib baik Noor dan suaminya (Sham) masih belum berangkat pulang ke Teluk Intan. Sempat saya memaksa mereka mengikuti kami bertiga untuk pergi melihat kelip-kelip.

Usai solat maghrib di rumah saya, kami ber-5 memulakan perjalanan ke Kg. Kuantan dengan menaiki 2 buah kereta. Nor dan Sham menaiki kereta Myvi putih mereka manakala saya, Asrol dan Zaini menaiki  Cik Viva hijau kesayangan saya. Tiba di Kg. Kuantan, kereta telah agak banyak dipakir di tempat letak kereta. Agak ramai juga orang yang berkunjung untuk melihat kelip-kelip pada malam tersebut. Nasib kami ber-5 merupakan antara orang yang terawal tiba di sana.

Selesai membayar harga tiket untuk menaiki sampan, kami terus ke jeti. Harga tiket yang dikenakan adalah RM40 untuk sebuah sampan dan hanya 4 orang penumpang sahaja untuk sebuah sampan. Bagi kami yang datang ber-5, bayaran tambahan RM10 perlu dibayar kepada pendayung.

Sebelum menaiki sampan, kami masing-masing diberikan jaket keselamatan untuk dipakai. Sambil menanti giliran, kami sempat mengambil gambar.

: Asrol-Noor-Sham :

 : Boleh berdiri pulak atas sampan :
Pemandangan malam itu agak gelap. Bulan masih belum menjegahkan dirinya. Kami menaiki sampan dan pak cik yang mendayung sampan kami ramah bertanya dari mana kami semua datang. Sambil menikmati pemandangan seperti lampu kelip-kelip yang disajikan di hadapan mata, kami mendengar pakcik itu bercerita tentang kelip-kelip dan pokok berembang.  Tak banyak yang dapat dilakukan di dalam sampan. Hendak mengambil gambar pun tak dapat mencari titik fokus kerana terlampau gelap. Akhirnya saya hanya duduk menikmati keindahan malam yang diserikan dengan cahaya kelip-kelip yang seakan-akan lampu hari raya seperti kata Noor. 

: Gambar yang sempat dirakamkan oleh lensa kamera saya :
Lebih kurang 20 minit di dalam sampan, kami kembali semula ke jeti. Seperti biasa, kalau sudah kaki kamera, mana-mana pergi pun mesti hendak mengambil gambar. Berposing kami sekali lagi di jeti. Kali ini, Zaini yang mempunyai kamera yang paling canggih antara kami ber-3 ( saya punya kamera la yang paling low class..hehe) yang menjadi jurugambar. Puas mengambil gambar,kami berpecah. Nor dan Sham meneruskan perjalanan pulang ke Teluk Intan, manakala kami ber-3 meneruskan misi kami pada malam itu untuk membuat night shoot di I-City, Shah Alam. 

Setibanya kami di I-City, titis-titis halus hujan mula terasa. Kami meneruskan jua langkah. Pertama kali saya menjejakkan kaki ke I-City. Sebelum-sebelum ini hanya melalui kawasan tersebut sahaja. Tanggapan pertama ~ pening-banyak sangat lampu- terlampau 'colorful'-crowded ~ Sempat kami berjalan-jalan di dalam kawasan I-City sebelum titis-titis hujan mula terasa kasar. Kami akhirnya sepakat untuk keluar dari I-City dan  minum di Kedai Tart Nasi Ayam di Seksyen 18, Shah Alam sebelum berpisah untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Kelip - kelip kusangka api,
Kalau api mana sumbunya,
Cuti-cuti ku berjalan lagi,
Dah tu,bila masa nak rehatnya.
  =)

* Erata : Kedai Tat Nasi Ayam di Seksyen 23, bukan di seksyen 18..maaf..salah seksyen.. Kalau  ada  yang ke Shah Alam, bolehlah singgah makan di kedai ini.. =)

4 comments:

  1. hihihihihi...ada lagi pengembaraan rupanya...hhahahahahaha...masuklah pulak taman alam kuala selangor...

    ReplyDelete
  2. :D masih ada pengembaraan..selagi mata blum tertutup buat selamanya..selagi itu akan ada pengembaraan..tak kira secara solo atau berkumpulan.. taman alam kuala selangor di mana ya?

    ReplyDelete
  3. kedai tu nama Tat Nasi Ayam..bukan Tart..seksyen 23..bukan 18...hehe...

    ReplyDelete
  4. owh...baiklah..salah saya...akan saya perbetulkan...mohon maaf ya... :)

    ReplyDelete